Isnin, 10 Februari 2014

Mendidik Janin Dalam Kandungan Ibu


Teks        : Khairul Syifa Ismail

Gambar  : Carian Google

 

 

http://kkcdn-static.kaskus.co.id/images/2013/02/07/2040801_20130207101045.jpg

 

Assalammualaikum, salam ukhwah!

 

Alhamdulillah akhirnya diizinkan Tuhan untuk saya kembali ke  laman travelog ini.  Saya diserang demam dan sakit-sakit badan hampir seminggu lamanya.  Sudah banyak menelan ubat namun masih tidak mujarab.  Sehinggalah tekak sudah mula rasa loya dan muntah-muntah, barulah terfikir sesuatu yang lain.  Rupanya telahan saya betul.  Demam dan sakit-sakit badan saya selama ini petanda mahu dapat orang baru!  Alhamdulillah sekali lagi.  Saya dan suami bahagia sekali dengan nikmat kurniaan Allah ini.

 

Saya agak teruja dengan kehamilan kali ini kerana saya sudah tidak bekerja lagi.  Di hati mulalah memasang azam yang pelbagai untuk menjaga ‘buah hati’baru ini.  Habis segala buku panduan kehamilan dan mendidik zuriat saya selongkar kembali.  Walaupun ini sudah masuk kehamilan yang keempat, saya enggan memandang ringan.  Saya hamil anak yang kedua dan ketiga dalam keadaan sibuk bekerja.  Kepenatan tubuh badan memang usah dikata lagi.  Maklumlah bekerja sebagai guru memang memerah tenaga dan suara yang banyak.  Kadang-kadang diserang emosi sedih  atau marah tidak bertempat.  Ditambah pula dengan alahan muntah-muntah dan pening-pening yang bertandang dalam diri.

 

Apabila pulang ke rumah, perlu juga melunaskan tanggunggjawab sebagai isteri dan ibu.  Melayan karenah anak-anak dalam keadaan perut yang memboyot memang cabaran dan ujian maha hebat yang perlu ditangani.  Ketika itulah banyak perkara yang terlepas pandang dan terlupa untuk dilakukan.  Kadang-kadang hanya sibuk memberi santapan jasmani kepada tubuh dan anak yang dikandung.  Pelbagai makanan berkhasiat  saya makan.  Selera memang naik berganda-ganda.  Hingga terlupa santapan rohani juga perlu seiring.  Janin bukan sekadar makan makanan dan minuman ibunya tetapi janin juga turut menyerap segala rasa, perbuatan dan amalan ibunya .

 

Bila fikirkan kembali, terasa gerun menyapa di jiwa.  Terfikir adakah saya telah memberi santapan rohani yang terbaik kepada  setiap zuriat yang telah saya kandungkan selama ini?  Adakah saya telah menjaga amalan dan tutur kata saya dengan sebaiknya sepanjang waktu kehamilan sebelum ini ?  Adakah saya telah melakukan amalan sunnah dan menjaga amal ibadah sebaiknya  hingga mampu memberi  kesan soleh dan solehah kepada anak yang dikandung? Atau pernahkah terguris hati suami tercinta  hingga rasa tidak reda bertandang di hatinya  gara-gara mendengar isterinya berdosa kata?  Astaghfirullah, saya mohon ampun dengan segala khilaf  yang mungkin pernah berlaku tanpa sedar ini.

 

Sehingga hari ini saya masih terus dan terus berdoa semoga setiap zuriat yan telah  dan akan saya kandungkan hanya mewarisi yang baik-baik sahaja daripada uminya yang dhoif ini.  Memang kita sebagai ibu dianjurkan agar sentiasa berdoa begitu.   Ramai tidak menyedari, mencorak anak sebenarnya bermula daripada alam janin lagi.  Di sini saya kongsikan sedikit info berguna yang saya perolehi hasil pembacaan majalah Solusi  Isu No 17, hasil tulisan Dato’ Siti Nor Bahyah Mahamood. Semoga para ibu dan bakal ibu semua akan perolehi  manfaatnya, InsyaAllah.

 

Sikap Ibu Bapa Ketika Ibu Mengandung & Impak Terhadap Peribadi Anak

 

  • Ibu bapa yang sering bergaduh, anak yang lahir akan menjadi ganas dan panas baran
  • Ibu bapa yang sering bersedekah, anak yang akan lahir hatinya lembut
  • Ibu  yang mengidam benda pelik, petanda tidak baik terhadap sikap anak
  • Ibu yang  tidak meninggalkan solat, anak yang lahir mudah mendapat hidayah.
  • Ibu yang bermain kayu tiga atau melakukan maksiat, anak yang lahir akan menjadi penderhaka dan gemar melakukan maksiat.
  • Ibu yang sering membaca Al-Quran, anak yang lahir akan menjadi bijak.
  • Ibu yang mengawal emosi, anak yang lahir akan menjadi soleh dan pandai mengawal keadaan.

 

 

Sehingga bertemu lagi, wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan