Jumaat, 14 Februari 2014

Kita Adalah Apa Yang Kita Baca


Teks        :  Khairul Syifa Ismail

Gambar :   Carian Google

 

http://1.bp.blogspot.com/-iyT2xnLm0k0/TzieiRTM2VI/AAAAAAAAAHA/HC-LD8iE04U/s1600/Majalah%2BSolusi%2B2.JPG

Assalammualaikum, salam ukhwah!

Usai membelek sahaja majalah Solusi kesayangan saya,  pasti akan terjumpa sesuatu yang menyapa keinsafan di  jiwa.  Kerana itulah majalah ini saya jaga lebih istimewa berbanding majalah lain.  Memang saya sediakan tempat yang sangat khusus untuk menyimpannya di rumah.  Hilang satu pun terasa sangat sayang dan rugi.  Walaupun telah lama dibeli tetapi isinya tidak pernah ada tarikh luput.  Setiap isinya padat dengan tulisan yang membawa ingatan kita kepada Allah. 

Cara berdakwah melalui penulisan sememangnya amat berkesan.  Jika dengar dengan telinga mungkin hanya masuk ke dalam hati pada  waktu itu sahaja.  Akan tetapi jika dibaca boleh diulang berulang kali sehingga benar-benar  faham dan meresap ke dalam jiwa.  Kerana itulah hukama’ ada mengatakan bahawa yang mengikat ilmu itu adalah pena.  Jika mendengar atau melihat tanpa dicatatkan pasti  akan terlupa.  Apabila dicatatkan ia mampu menjadi rujukan turun temurun dan impaknya besar  pada aliran ilmu itu sendiri.

Saya teringat arwah ayah sangat tegas dalam menentukan bahan bacaan kami adik- beradik.  Sejak kecil lagi majalah hiburan melalaikan memang dilarang sama sekali memasuki rumah saya.  Pernah sekali kakak saya curi-curi meminjamnya dari seorang rakan lalu dibawa pulang ke rumah.  Ditakdirkan Allah, ayah terjumpa.  Diambilnya senyap-senyap dan hingga ke sudah tidak diberi kembali kepada kakak saya.   Sudahnya kakak saya terpaksa mengeluarkan wangnya sendiri  membeli majalah tersebut buat mengganti kembali majalah rakannya itu. 

Ketika itu jiwa remaja kami  sedang bergelora.  Sedikit sebanyak terasa juga terkongkong dengan peraturan ayah.  Melihat rakan-rakan lain membicarakan artis itu dan artis ini terasa juga cemburunya.  Namun ketegasan ayah itu akhirnya  saya rasai kesannya hari ini.  Masih terngiang-ngiang kata-kata ayah di telinga saya.  Kata ayah,  “ Jika mahu melihat akhlak generasi akan datang, lihatlah dahulu apa bacaan mereka hari  ini”.  Apabila sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak sendiri, saya amat mengakui kebenaran kata-kata ayah.

Betapa susah sebenarnya mendidik anak-anak kecil yang mudah menurut ini.  Anak sulung saya yang baru berumur 8 tahun pernah beriya –iya memujuk  saya membelikannya sebuah komik kartun dari negara Jepun.  Katanya, komik itu sangat popular dan ramai kawan-kawan sudah membacanya.  Dek kerana rasa kasihan saya cuba usahakan juga mencari komik yang dimaksudkan.  Namun saya membatalkan hasrat untuk membeli komik itu selepas menyelak beberapa halaman muka suratnya.  Mengucap panjang rasanya melihat ilustrasi yang dilakarkan.  Iya benar, ceritanya biasa sahaja tiada yang lucah tetapi watak perempuannya  dilukis dalam pakaian yang sungguh mengghairahkan.

Apa logiknya watak itu dilukis sedemikian rupa saya tidak pasti.  Mungkin ada yang berpendapat itu sekadar kartun dan apalah sangat kesannnya kepada budak yang tidak mengerti  apa-apa.  Sebenarnya kita terlupa, dari mata turun ke hati.  Hati anak-anak kecil ini suci dan menanti untuk dicorakkan dengan apa sahaja warna yang ada.  Peringkat umur mereka ini sangat mudah menyerap apa sahaja yang dilihat dan didengar.  Kasihanilah anak-anak yang masih suci ini.  Sebagai ibu bapa pantaulah apa bahan bacaan mereka.  Sebenarnya tidak perlu pergi jauh untuk mencari karya apa yang terbaik buat anak-anak di rumah.  Kita ada himpunan cerita para anbiya, para sahabat,  para ilmuwan  serta seribu lagi kisah insan-insan terbilang yang boleh dijadikan tauladan. 

Cuma sebagai ibu bapa, tepuk dada tanyalah iman sama ada mahu atau tidak.  Mungkin sesetengahnya berpendapat kisah-kisah seperti itu tidak moden dan pasif rentak ceritanya.  Terpulanglah.   Islam itu sepanjang zaman.  Kisahnya juga indah dan mengharumkan  bagi yang sentiasa mencari dan berlapang dada.  Namun yang sempit jiwa sahaja yang akan merasakan ianya ketinggalan zaman.  Jadi fikir-fikirkanlah!

Sehingga bertemu lagi, wassalam.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan