Isnin, 3 Februari 2014

Istimewanya Air Zam-Zam


Teks        : Khairul Syifa Ismail

Gambar  : Carian Google

 

http://images01.olx.com.my/ui/17/30/84/1324306010_260162684_1-Pictures-of--air-zam-zam.jpg

 

Assalammualaikum, salam ukhwah!

 

Semasa menjadi guru dahulu, saya pernah ditanya oleh seorang pelajar mengapa air Zam-Zam sangat istimewa kedudukannya daripada air biasa?  Sehinggakan meminumnya dikatakan mampu menyembuhkan penyakit. Walaupun telah bergelar guru tetapi mungkin dek kerana masih tetap kecetekan ilmu, saya hanya mampu menjawab semuanya kerana kehendak dan takdir Allah yang ingin mengangkat dan memuliakan air Zam-Zam di hati setiap umat Islam.

 

Saya kira jawapan itu tidak salah tetapi sedikit tidak lengkap.  Benar kata pepatah “ menjadi guru, semakin terasa kurang ilmu”.  Pertanyaan pelajar itu menyedarkan saya betapa selama ini adakah saya benar-benar menghayati keistimewaan air yang keluar daripada tanah hasil hentakan kaki Nabi Ismail alaihissalam itu.

 

Sejak itu saya mula mencari pelbagai info berkaitan air Zam-Zam.  Saya teruja membaca pelbagai hasil kajian yang membuktikan keistimewaan air Zam-Zam ini.  Selama ini kita sering diwar-warkan bahawa kuman dalam air hanya akan mati dalam suhu 100 darjah celcius iaitu pada suhu takat didih.  Maha Suci Allah, air Zam-Zam tidak perlu dididihkan kerana di dalamnya sudah terkandung florida yang berupaya membunuh kuman. 

 

 

 

Air Zam-Zam juga mampu mengenyangkan dan menghilangkan dahaga.  Benar, saya merasai sendiri pengalaman ini sewaktu menunaikan Umrah suatu ketika dahulu.  Saya mampu berlamaan dalam Masjidilharam tanpa rasa lapar dan dahaga sedikit pun.  Malah yang lebih menakjubkan,  walaupun saya minum bercawan-cawan banyaknya sedikitpun tidak terasa untuk membuang air kecil.

 

Meminum air Zam-Zam juga dikira sebagai ibadah sekiranya berniat mengikuti perbuatan Rasulullah s.a.w.  Dikisahkan juga bahawa Rasulullah s.a.w pernah mencelupkan tangan baginda yang penuh berkat ke dalam perigi Zam-Zam.  Malaikat Jibril juga pernah membersihkan hati Baginda s.a.w dengan menggunakan air Zam-Zam.

 

Satu kajian juga telah dijalankan oleh seorang doktor yang bernama Masaru Emoto dari Universiti Yokohama, Jepun. Dalam kajiannya, beliau mendapati molekul air Zam-Zam merupakan molekul air yang tercantik dan terindah berbanding air lain.  Doktor Masaru Emoto juga mendapati air Zam-Zam mempunyai daya penyembuhan penyakit yang amat luar biasa.  Subhanalllah! Kajian ini membuktikan kebenaran yang keluar dari lisan Rasulullah s.a.w  1400 tahun yang lalu.

 

“ Sebaik-baiknya air di muka bumi ialah air Zam-Zam.  Padanya ada makanan yang menyegarkan dan penawar bagi segala penyakit”

                                              ( Riwayat Ibnu Majah )

 

Nyata sekali keajaiban air Zam-Zam tidak mampu ditandingi oleh mana-mana air pun di dunia ini.  Memikirkan tentang periginya yang tidak pernah kering biarpun sudah berusia lebih 4000 tahun yang lalu juga sudah satu keajaiban yang perlu direnungkan.  Begitulah hebatnya kuasa dan kebesaran Allah Subhanawataa’la.  Wallahua’lam.

 

Sehingga bertemu lagi, wassalam.

 

 

*Sumber rujukan – Buku  “ Mengapa Rasulullah Tidak Mudah Jatuh Sakit “  karya Asadullah Al-Faruq

Tiada ulasan:

Catat Ulasan