Selasa, 14 Januari 2014

Tugasan Cerpen 1 - April

Teks     : Khairul Syifa Ismail






Tajuk  :   April


“ Kathy budak tu nak jumpa engkau lagi ni, boleh tak?  Kasihan aku tengok dia Kathy.”  Suara Ramlah menerjah gegendang telinga Khadijah.





Khadijah hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sahaja.  Matanya lurus merenung pada jendela di hadapannya. Mulutnya masih terkunci mati.  Ramlah  melepaskan keluhan berat.  Digaru-garu kepalanya yang tidak gatal lalu dia melangkah pergi meninggalkan Khadijah sendirian


“ Macam mana mak cik?  Bolehkah saya berjumpa dengan Puan Khadijah?"  Gadis muda yang bernama April itu mula menyoal tidak sabar usai melihat kelibat Ramlah di muka pintu bilik pelawat.


“ Maaf April, mak cik dah cuba pujuk dia nak tapi dia tetap tak mahu jumpa April,” jawab Ramlah dengan nada suara yang yang cukup serba salah.


Wajah April berubah muram serta merta.  Ada manik jernih mula menuruni pipinya. Ramlah memegang bahu gadis manis yang berusia 19 tahun itu.  Ditariknya April rapat ke tubuhnya yang gempal.  Didakapnya April dengan penuh kasih.


“ Sabarlah April, baliklah dahulu. April jangan lupa teruslah berdoa kepada Allah agar dilembutkan  hati dia.”

April hanya mengangguk-nganggukkan kepalanya. Dia menyeka air mata yang masih bersisa di pipinya. Dia cuba tersenyum walaupun  hatinya remuk teramat. Dikucupnya tangan Ramlah sambil mengucapkan salam seraya berlalu pergi. Tidak mengapa esok dia pasti akan datang lagi!
***********************************************
Khadijah tidak pernah menyangka peristiwa silam itu masih mahu menganggu hidupnya.  Sudah   bertahun dia mahu lari daripada mengingati segalanya. Kehadiran gadis itu bagaikan menyelak kembali lembaran hitam yang sudah lama ditutup kemas.
Khadijah meraup wajahnya.  Hatinya mula beristighfar. Peristiwa 20 tahun lalu mula berputar kembali pada kotak fikirannya. Khadijah terlanjur dengan kekasihnya, Ramli.  Semuanya kerana bahana cinta.  Khadijah rela serah segalanya.
Akhirnya emak Khadijah meraung apabila mengetahui bakal menjadi nenek kepada  cucu  yang tidak diundang.  Ayah pula mengamuk besar usai mendengar berita anak tunggalnya dibuntingkan orang sebelum nikah.  Ramli yang pernah berjanji sanggup merenangi lautan api bersama kini senyap sepi.
Mujur Ayah orang ternama yang punya banyak harta. Khadijah telah dikirim ke seberang laut  selama perutnya memboyot.  Dihantar bersama Khadijah lengkap dengan seorang pembantu Filipina untuk menjaganya. Kepada teman-teman dan saudara mara, emak khabarkan yang Khadijah pergi belajar.
Khadijah tidak pernah ada sekelumit pun rasa kasih kepada nyawa yang sedang dikandungnya.  Dia meracau siang malam ingin membunuh sahaja anak dalam perutnya itu.   Milea, wanita berasal daripada Filipina itu setia sekali menjaga Khadijah. Dialah yang menghalang beberapa kali cubaan Khadijah menggugurkan kandungan.
Khadijah lega teramat apabila anak yang dilahirkannya dikhabarkan Milea telah meninggal dunia. Entah kenapa hati Khadijah kejam dan keras seperti batu ketika itu.  Tiada setitik pun air mata yang keluar!  Baginya kematian anak yang tidak diingininya itu bagai satu rahmat bagi menutup malu dosa yang dicarinya sendiri.
Iya, anaknya telah mati 19 tahun yang lalu! Milea yang memberitahunya. Mak dan ayah juga khabarkan begitu kepada khadijah. Lalu khadijah enggan bertanya apa-apa lagi. Baginya masalah sudah selesai.  Persoalannya kini, siapa pula gadis manis yang bernama April itu?  Tiba-tiba hadir mendakwa khadijah ibunya.  Fikiran Khadijah  jadi celaru dan cemas memikirkannya.
Di takah usianya kini,  Khadijah terasa ingin berubah. Lalu atas nama ingin menebus dosa lamalah dia membuka Rumah Teratak Kasih ini.  Ramlah sahabat baiknya itu yang bannyak membantu dan memberi dorongan. Malah dia juga memberi kepercayaan kepada Ramlah untuk menjadi rakan kongsinya menguruskan Teratak Kasih bersama-sama.
 Khadijah mewarisi segala harta peninggalan arwah ayah dan ibunya kerana dia adalah anak tunggal. Dengan harta yang adalah Khadijah membina Teratak Kasih, sebuah rumah perlindungan untuk wanita-wanita yang teraniaya dan terlanjur.  Nama Khadijah gah di dada akhbar. Anak seorang bekas seorang usahawan terkenal negara berhati mulia kerana membina sebuah pusat perlindungan wanita.  Pelbagai anugerah dan gelaran diraih khadijah gara-gara jasanya yang disanjung tinggi oleh masyarakat.
Apa kata masyarakat jika mereka mengetahui kisah silamnya?  Itulah yang paling Khadijah takuti. Sejak sejarah hitam itu, Khadijah memang tertutup pintu hatinya untuk berkahwin. Sehingga kini semua orang tahu dia tidak pernah mempunyai suami apatah lagi anak! Tiba-tiba bayangan wajah April tersenyum sinis melintasi fikirannya.
 
 
“ Aku malu Ram! Apa orang kata kalau tahu Puan Khadijah pemilik Teratak Kasih sebenarnya ada anak luar nikah?  Khadijah meluahkan rasa hatinya kepada Ramlah.
“ Lagipun entah betul atau tidak budak tu anak aku, entah-entah mahu ambil kesempatan sahaja” ujar Khadijah lagi dengan suara yang sedikit mengendur daripada tadi.
“Khaty, kau jumpalah dulu. Dengar ceritanya.  Bagi aku tidak salah. Lepas kau dengar ceritanya terpulanglah kau mahu terima dia atau tidak,” kata Ramlah masih cuba memujuk Khadijah.
Sahabat baiknya  ini memang keras pendiriannya.  Ramlah sudah lama kenal  Khadijah, malah cerita silam Khadijah juga semua diketahuinya. Walau apapun dia mesti memujuk Khadijah agar berjumpa dengan April.  Entah mengapa hatinya kuat mengatakan April memang anak Khadijah.
“ Aku tak percaya dia anak aku, lainlah kalau ada keputusan DNA yang mengesahkan budak itu anak aku! Aku terkenal dan berharta Ram, sesiapa pun boleh ambik kesempatan.”  Akhirnya Khadijah bersuara tegas menyatakan pendiriannya.  Mungkinkah dia yang takut berdepan dengan kenyataan sebagaimana yang dikatakan Ramlah.  Entahlah, Khadijah tidak mahu berfikir lagi
********************************************
Tangan Khadijah ketar menyambut  sampul surat coklat muda  bersaiz A4 paper yang dihulurkan oleh Ramlah itu. Sampul surat yang sedikit renyuk dan kusam dengan kesan darah kering itu dirobeknya perlahan. Dadanya terasa sebak usai menatap sekeping kertas yang memaparkan satu keputusan ujian DNA.  Ada satu warkah bewarna biru muda yang turut terselit di dalam sampul surat besar itu. Khadijah membuka warkah itu dan mulai membacanya dengan mata yang semakin berkaca-kaca.
Assalammualaikum mak,
Semoga mak yang April kasihi berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah. April mohon maaf banyak-banyak kerana terpaksa menulis surat ini kepada mak.  Hanya ini sahaja jalan yang ada untuk April berbicara dengan mak.
Alhamdulillah mak, ujian DNA telah keluar.  April mohon maaf kerana buat ujian ini senyap-senyap. Mak Cik Ramlah beritahu April yang mak tidak percaya April anak mak selagi ujian DNA tidak membuktikannya. Ternyata mak, April memang anak mak! Mak cik Ramlah yang membantu April dapatkan contoh rambut mak.  Katanya dia curi-curi  ambil pada  sikat rambut  mak.  Lucu juga, tetapi  mak jangan marahkan  Mak  Cik Ramlah ya.  Dia hanya ingin membantu April sahaja sebenarnya.
Mak  yang April rindui,
Sebenarnya April baru lima bulan ‘kembali’ kepada agama suci kita iaitu Islam. Tentu mak hairan kenapa April gunakan perkataan kembali.  Sebenarnya untuk pengetahuan mak selama hampir 19 tahun April hidup di dunia ini, April tidak pernah tahu yang April sebenarnya seorang Islam.  Sehinggalah Mama Milea sakit tenat sebelum  meninggal dunia enam  bulan yang lepas, barulah terbongkar segalanya.  Rupanya April hanya anak angkat. Selama ini April dijaga oleh seorang wanita yang beragama Kristian. Walau bagaimanapun April amat menyayangi Mama Milea. Mama Milea  menjaga April dengan cukup baik.  Meskipun  dia hanya bekerja sebagai pembantu kedai sahaja, namun kehidupan kami berdua amat bahagia.
Cuma hati April sedikit terkilan.  Rupanya  April menurut agama Mama Milea selama ini  tanpa mengetahui April sebenarnya lahir daripada rahim seorang wanita Islam! Sungguh mak, April benar-benar tidak tahu. Namun April bersyukur teramat kerana Allah kembali menyelamatkan April dengan membuka pintu hati Mama Milea untuk berterus terang siapa April sebenarnya. Selepas April mengetahui perkara sebenar, hati April terus jinak tiba-tiba.  Bagai ada cahaya yang memandu April untuk mencari Islam.  Alhamdulillah April dengan mudah menerimanya. 
Maaf mak, April bukan bercerita semua ini untuk menyalahkan mak.  April hanya mahu mak tahu yang anak mak ini teramat gembira kerana ditakdirkan seorang Islam akhirnya.  Biarpun sudah hampir 19 tahun April tidak pernah mengenal Allah, Tuhan yang sebenarnya tetapi April tetap bersyukur kerana akhirnya Allah kembalikan April.  Mujurlah mak, jika tidak pasti kita tidak boleh bertemu di syurga nanti.  Kata ustaz April, umat Islam bertuah kerana lambat laun pasti akan dimasukkan ke syurga juga.  Berbanding orang kafir, mereka akan kekal dalam neraka buat selama-lamanya. 
April juga tahu  mak sebenarnya sangat sayangkan April biarpun Mama  Milea beritahu mak sebenarnya tidak mahu April hidup.  Sebab itulah semua orang terpaksa berbohong kepada mak bahawa April telah mati.  Mak jangan bimbang, April tidak percaya langsung! April yakin mak sebenarnya tertekan sahaja dengan apa yang berlaku tetapi dalam hati mak sebenarnya teramat – amat sayangkan  April. Betul tak Mak?
Mak, hari ini 27 April.  Masihkah mak ingat? Hari inilah mak melahirkan April ke dunia ini. Sebab itulah nama anak mak ini April.  Mama Milea yang beri nama ini.  Sebenarnya sejak April kembali kepada Islam, April teringin untuk menukar nama yang lebih bercirikan Muslimah.  April sudah pilih namanuya.  Fatimah, bolehkah mak? Fatimah itu nama puteri kesayangan Rasulullah s.a.w dan lahir daripada  seorang wanita mulia   yang bernama Khadijah. Sama seperti nama mak.
Inilah antara tujuan April ingin bertemu sangat dengan mak.   Sebenarnya April  mahu mak yang menamakan kembali nama April.  April mahu mak menjadi orang pertama yang memanggil April dengan nama Fatimah.  April berharap sangat  mak akan setuju bertemu April selepas membaca surat ini. April merayu kepada mak, jumpalah April walau untuk sekali sahaja!  April hanya mahu mendengar mak memanggil nama April dengan panggilan Fatimah.  Itu sudah cukup mak.  April berjanji tidak akan meminta lebih walaupun hati April teramat rindu ingin memeluk erat tubuh mak.
April juga ingin ucapkan terima kasih banyak-banyak kerana sudi melahirkan April ke bumi Allah ini. Pinta terakhir April, maafkanlah segala salah dan silap April selama ini.  Ketahuilah mak, sesungguhnya April tidak pernah membenci mak kerana maklah syurga April dunia dan  akhirat.  April sudah kehilangan Mama Milea di Akhirat sana. Semoga April tidak kehilangan mak pula  di syurga yang bakal menanti.  Percayala, dalam hati April hanya ada rasa kasih dan sayang yang teramat sangat buat mak. Tolonglah mak, jumpalah April!
Wassalam.
Anakkmu,
April @ Fatimah
Khadijah meraung sekuat hati. Warkah biru yang baru selesai dibacanya itu diramas-ramas. Rasa sesalan yang tidak terhingga menggunung di hatinya kini. Tiba-tiba juga terasa berganda-ganda dosa yang telah dilakukannya! Anak yang dibencinya selama ini, yang disangkanya telah mati  rupanya nasih hidup. Lebih pedih lagi, anak itu pernah hidup sebagai seorang yang bukan Islam! Salah siapakah? Khadijah sudah tidak mampu mencari jawapannya.  Dosa silam dan sikap egonnya memakan diri sendiri.  Terasa bagai sudah tertutup jalan untuk dia menebus kembali dosanya dengan seorang anak yang bernama April.  April telah pun pergi buat selama-lamanya.
April kemalangan pagi tadi betul-betul di hadapan rumah Teratak Kasih sewaktu melintas jalan. Tubuh  April cedera parah dilanggar lori. Dia meninggal dunia di tempat kejadian. Sewaktu jasad kakunya mahu diangkat untuk dibawa ke hospital, tangannya masih erat memegang sebuah sampul surat  besar bewarna coklat muda. Di hadapan sampul surat itu tertera tulisan Istimewa buat Mak yang tersayang: Puan Khadijah Manan.


*********************************************




Rujukan:
DNA ialah singkatan kepada asid deoksiribonukleik, satu molekul penting bagi semua sel hidup. Ia adalah molekul yang menyimpan kod genetik yang menentukan semua ciri-ciri manusia seperti warna kulit, mata, jenis rambut dan sebagainya.


 
 
 
 

2 ulasan:

  1. Tidak terfikir pula saya masa buat tugasan berdasarkan bulan, jadikan bulan tu sebagai watak.

    =). Saya suka jalan cerita ni.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Syahidah..tetapi masih ada banyak kekurangan yang perlu dibaiki :)

      Padam