Selasa, 28 Januari 2014

Tugasan Cerpen 3 ( POV1 ) - Suara Itu


Teks      : Khairul Syifa Ismail

Gambar : Carian Google

 

http://fc04.deviantart.net/fs19/f/2007/269/f/f/subuh_by_nanasoigeboi.jpg

 

Setiap Subuh pasti  kudengar suara itu.  Melaungkan kalimah agung memanggil-manggil manusia agar segera bersimpuh di hadapan Khaliqnya.  Suaranya merdu membuai  rasa hatiku. Serak-serak basah tetapi ada lenggok yang mendayu.  Sejak suaranya ada, jam locengku sudah hilang fungsinya.  Sungguh! aku boleh terbangun begitu sahaja usai mendengar lantunan suaranya.  Dua sebab yang membuatkan hatiku memujanya.  Pertama, aku terpana kagum  pada keindahan suaranya.  Kedua,  keindahan suara itu telah membawa aku hanyut dalam menghayati erti  sebenar puji dan puja terhadap Dia Yang Maha Berkuasa

Tiga bulan yang lalu, bukan suara itu yang kedengaran pada  pembesar suara surau baru di belakang rumahku.  Suara dahulu sangat kukenali.  Keras, kasar dan garau sekali.  Kata emak, pemilik suaranya seorang bilal  tua.  Suara baru ini tiada cela atau sumbang kedengaran.   Segalanya kedengaran sempurna pada telingaku.  Akhirnya, aku terpaksa mengaku dengan jujurnya, suara itu telah berjaya mengetuk pintu hati perempuanku untuk berasa tidak keruan.

*************************************

Petang semalam ada rombongan datang merisik.  Bertanyakan aku, anak dara emak yang masih belum berpunya.  Silapnya, emak menerima tanpa mahu bertanya aku empunya hati. Sudikah? Cintakah? Bersediakah?

Tahu-tahu sahaja ada sebentuk cincin emas belah rotan  di atas meja.  Menyambut aku yang kelelahan pulang daripada kerja petang itu.  Emak tersenyum-senyum bercerita hebatnya diri pemuda itu.  Seorang doktor muda yang bekerja di sebuah  hospital swasta.  Berminat mengambilku menjadi suri hidupnya.  Kata emak, ramai gadis sudah tergilakan dia namun hatinya hanya terpaut kepada diriku.  Emak meratib kata betapa beruntungnya aku kerana dipilih dia. 

Rupanya emaknya dan emakku telah bersahabat baik sekian lama.  Hasrat mereka mahu hubungan rakan bertukar saudara.  Aku tahu,  mesti emak curi-curi memberi gambarku kepada rakannya.  Sebagaimana yang biasa dilakukannya selama ini.  Emakku sebenarnya handal dalam  hal jodoh  menjodoh saudara- mara.  Emak suka jadi orang tengah mempertemukan dua jiwa.  Kata emak, dapat pahala jika membantu orang membina masjid bahagia.

Masalahnya saudara mara sememangnya suka meminta bantuan emak.  Maka selayaknyalah mereka reda.  Aku pula lain kesnya.  Seingat aku, diri ini sekali pun belum pernah bersuara tentang hasrat ingin berumah tangga.  Kenapa emak mahu sibuk-sibuk pula! Namun ayat  protesku itu  hanya terbuku di dalam dada.  Bimbang juga terluah di mulut langsung aku nanti digelar anak derhaka.  Aku tidak bersetuju sebenarnya.  Hatiku sedang enak menganyam rasa kepada seseorang.  Memang kami masih belum pernah bertemu muka tetapi anehnya hatiku sudah ditakluk dia!

 

 

Emak mendesakku bertanya siapa dia.  Pemuda mana yang meyebabkan aku menolak anak rakan karibnya.  Bosan dan rimas apabila terlalu ditanya, lalu aku berilah jawapan sejujurnya kepada emak.  Butang mata emak memandangku.  Mulut emak sedikit ternganga.  Kukira  muat untuk dimasuki seekor lalat bersaiz sederhana.  Aku hanya menundukkan kepala.  Bukan takut tetapi harap emak mengerti  petandanya  aku tidak mahu lagi ditanya-tanya.

Emak meraup wajahnya yang berona  kemerahan. Hilang senyuman pada bibirnya. Terkejut sangatkah emak dengan jawapan yang aku beri?  Salahkah aku menaruh cinta kepada dia?  Pemilik suara itu? Kagumku telah bertukar cinta.  Terasa seakan aku mahu pergi kepadanya.   Segera meluah rasa yang kian mrmbuku di jiwa.  Betapa suaranya telah menggugat jiwaku.  Mencipta rasa angau menggila. Kusimpan rasa ini kemas berbulan lamanya. Jika bukan kerana lamaran itu tiba, pasti rahsia hati ini tidak kupecahkan lagi kepada emak.

**********************************

Cincin belah rotan itu akhirnya kupulangkan semula.  Sejak itu wajah emak sentiasa mencuka.  Emak menuduhku gila.  Hanya kerana aku mencintai orang yang tidak pernah kutahu rupanya.  Kata emak entah-entah  si dia suami orang atau berupa tidak seberapa mana.  Kalau ditakdirkan begitu sanggupkah aku menerimanya? Persoalan emak itu kubiarkan sahaja tanpa jawapan.  Kupohon maaf kepada emak.  Bukan niatku untuk melawan kata emak.  Kataku kepada emak,  hati kalau tidak suka jangan dipaksa.  Bimbang hidupku nanti tiada bahagia.  Emak berdiam diri sahaja.  Tiada reaksi untuk membalas kata-kataku.  Emak sekadar  menjeling diriku dengan ekor matanya.  Aku rasa bersalah tetapi enggan goyah.  Perasaanku ini perlu dipertahan walau apa terjadi.  Tekadku bulat. Hanya dia yang kucinta!

Lalu sepertiga malam menjadi rutin aku mengadu rasa kepada Allah.  Mohon ditunjukkan jalan seandainya benar ada jodoh untuk diriku mendampingi dia si pemilik suara. Gilakah cintaku? Memuja hanya kerana suara? Teringat kisah Bilal bin Rabah.  Muadzin pertama melaung kalimah azan di masjid  Rasululullah s.a.w yang terletak dalam Kota Bercahaya.  Diceritakan bahawa Bilal itu bekas seorang hamba.  Terbebas dirinya lantaran Abu Bakar as-Siddiq sudi menebus harga.  Meskipun wajahnya tidak berupa kerana berkulit hitam tetapi hatinya putih bercahaya dengan Islam.  Ya, Bilal tidak berupa tetapi suaranya telah menambat jiwa seluruh penduduk Islam Kota Bercahaya.  Bahkan  penghuni langit juga terpana mendengar suara Bilal.

Aku tidak pasti adakah suara laungan azannya juga telah berjaya menarik hati seluruh penduduk taman perumahan ini.  Namun aku cukup pasti , suaranya  telah pun menambat seluruh pelosok jiwa ragaku.   Biarpun kedengaran hanya sekali sehari tetapi sudah cukup mencipta rindu di dadaku agar terus menunggu setiap Subuh yang tiba.   Mahu kucari dia di surau baru itu tetapi malu pula rasanya kerana aku bukan kaki surau.  Rasanya seumur hidup aku di kawasan perumahan ini, boleh dikira dengan jari berapa kali aku hadir ke surau atau masjid.  Itu pun setelah lelah mendengar leteran emak yang meminta aku bergaul dan bermesra dengan masyarakat setempat.  Di mana lagi jika tidak di rumah Allah.  Kata emak, rumah Allah bukan sekadar untuk bersolat tetapi  juga tempat meyalurkan silaturrahim untuk setiap wajah yang bertentang mata.

*******************************

Aku bangun seawal mungkin pagi ini.  Sesudah mandi  dan bersiap, aku segera menyarungkan telekung bersulam tebal hadiah daripada emak Idulfitri yang lalu.  Kududuk di birai katil sambil menanti.  Jam locengku baru menunjukkan pukul 5.30 minit  pagi.  Kujeling sekali lagi pada kalendar di dinding bilik yang turut tertera waktu-waktu solat.  Subuh masuk waktunya  jam 5.50 minit pagi.  Bererti aku masih ada 20 minit sebelum suara itu berkumandang.  Dadaku terasa debar berirama. Mungkin kerana sebentar lagi aku akan bersua dengan si dia pemilik suara yang amat kupuja!

Daun pintu bilikku dikuak, terjengul kepala emak yang juga sudah lengkap bertelekung.  Ada segaris senyuman hambar di wajah emak. Aku bingkas bangun mencapai kunci kereta.  Buat pertama kalinya, dalam kedinginan pagi sebelum Subuh keretaku meluncur menuju ke surau baru  itu.  Terasa bersalah juga di hati kecilku kepada Tuhan.  Sungguh, kehadiranku ke surau pagi ini bukan kerana ikhlas untuk berjemaah meraih 27 darjat  pahala.  Sebenarnya aku ada misi lain.

Emak masih membatu senyap di tempat duduk sebelahku.  Teringat semalam, emak memarahiku kerana menyimpan perasaan cinta ini.  Emak mencabar aku agar bertindak.  Emak mahu aku pergi bersua dengan dia si pemilik suara.  Kata emak, dia sudah reda dengan keputusan aku menolak pinangan anak sahabat karibnya.  Namun dia enggan melihat aku akhirnya gila sendiri kerana mencintai seseorang yang tidak pasti.  Dia mahu aku bersua dan melihat sendiri batang tubuh empunya diri. 

 Benar juga kata emak.  Sampai bila harus kupendam rasa ini.  Aku malu sebenarnya.  Takut dituduh perempuan tiada maruah kerana melamar lelaki.  Namun bebelan emak bukan sebarangan.  Ada isi dan pengajaran.  Dikisahkan kepadaku tentang Khadijah yang melamar Muhammad s.a.w.  Jika sirah sudah membuktikannya, maka tiada salah dan dosa untuk aku juga menjadi perigi yang mencari timba!

Debaran hatiku semakin kuat terasa usai enjin kereta kumatikan.  Keretaku kuparkir berdekatan dengan  pintu memasuki ruangan solat muslimat.  Tiba-tiba terasa berat pula kaki mahu melangkah keluar daripada perut kereta Kancilku ini.  Emak yang sudah lama berdiri di luar pintu kereta mula menjegilkan matanya kepadaku.  Akhirnya  lambat-lambat aku melangkah juga.

Ruangan tempat solat muslimat ternyata kosong.  Hanya aku dan emak.  Rasa sayu menyerbu hatiku.  Surau seindah ini tampak sepi  tanpa manusia yang sudi hadir berjemaah.  Kemana perginya semua manusia? Hatiku tiba-tiba bertanya sendiri.  Adakah laungan merdu azan yang kudengar setiap pagi masih tidak mampu menarik ramai jemaah untuk bersolat di sini?  Tiba-tiba aku tersa malu sendiri.  Apa hendak dihairankan.  Aku pun tiada bezanya.  Mendengar laungan azan tetapi tidak tergerak pun hati untuk melangkah datang berjemaah di surau ini. Orang lain pun mungkin begitulah juga.  Aku mula menyedari  khilaf sendiri. Betapa aku sendiri juga alpa, mana mungkin diri layak bertanya.

 Aku cuba mengintai-ngintai di balik tabir yang memisahkan ruangan solat muslimat dan muslimin.  Kulihat hanya ada dua orang manusia lelaki yang sedang duduk bersila diam jauh di hadapan mimbar tempat imam berkhutbah.  Kurenung jam digital yang tersangkut di dinding sebelah mimbar. Tiga minit lagi menuju 5.50 minit pagi!

Emak juga menyertai aku.  Turut sama menyelak sedikit tabir mengintai sesuatu.  Ketiadaan jemaah wanita lain seolah menjadi tiket untuk kami dua beranak selesa melakukan apa sahaja di ruang solat wanita ini. Aku masih menanti dengan penuh debaran.  Siapakah antara dua lelaki di hadapan itu yang akan bangun menuju ke alat pembesar suara yang sudah tersedia?  Jam sudah menunjukkan 5.49 minit pagi.  Hatiku semakin walang menanti.  Dua orang lelaki yang kulihat tadi masih tidak berganjak dari tempat duduk mereka.  Tiba-tiba terdengar derap bunyi seseorang di muka pintu surau.  Aku segera meliar mata mencari.

Seorang pemuda jernih wajahnya, berketayap putih, berbaju putih kelihatan menuju ke arah hadapan tempat imam.  Tiba-tiba emak mencubitku sambil memuncungkan mulutnya ke arah pemuda itu.  Mataku tidak berkedip lagi.  Benarkah dia? Oh Tuhan, benarkah apa yang kulihat ini? Jantungku terasa bagai hendak tercabut apabila pemuda berwajah jernih itu betul-betul telah berhenti di hadapan pembesar suara yang telah disediakan.  Kelihatan dua orang lelaki tadi lekas-lekas bergerak memberi ruang kepada pemuda itu. Salah seorangnya mengambil sebuah kerusi lalu mengangkat tubuh pemuda itu naik ke atasnya. Seorang lagi sibuk membetulkan alat pembesar suara agar benar-benar selari dengan mulut pemuda tadi.

Pandangan mataku sudah mula berkaca-kaca.  Aku seakan tidak tergamak melihatnya lagi.  Terdengar suara yang kupuja-puja selama ini mula berkumandang melaungkan kalimah yang sama memuji Tuhan Yang Satu.  Aku melepaskan tirai yang kukuak sedikit buat mengintai tadi.   Lemah segala sendi anggota tubuh badanku.  Tanpa sedar tubuhku jatuh terjelepuk di atas permaidani indah surau. Tiba-tiba terasa tangan lembut emak menyentuh bahuku.

 

“ Sayyidah, namanya Ustaz Rushdan.  Dia seorang hafiz dan masih bujang. Sebenarnya mak dah lama tahu tentang dia, cuma mak tak cerita pada engkau bimbang engkau akan kecewa.  Mak  nak engkau jumpa dan tengok sendiri orangnya. Sekarang engkau buatlah keputusannya”

Lembut kata-kata emak menerjah gegendang telingaku.  Rupanya itulah lelaki pemilik suara yang kudamba selama ini, yang membuat siang malamku menjadi rawan kerana rindu sendiri.  Seorang pemuda yang tampan dan soleh gaya pemakaiannya tetapi  sayang pemuda itu terlalu istimewa daripada pemuda lain.  Istimewanya dia kerana dia  tidak mempunyai sepasang TANGAN  dan  KAKI.  Subhanallah! Allahuakbar!

Pilunya hatiku melihat keadaan dirinya.  Air mataku semakin mengalir laju dalam isak tangisku sendiri.  Tangisan yang aku sendiri tidak pasti atas sebab apa.  Sedihkah kerana pemuda dambaan hatiku sebenarnya seorang yang tidak sempurna? Gembirakah aku kerana akhirnya aku dapat bersua muka dengannya?  Atau adakah  sebenarnya rasa simpati sudah mula memenuhi segenap  ruang hatiku  buat pemuda itu?  Namun yang pasti cintaku masih tetap tidak berubah!

“ Mak, bila boleh pinangkan dia untuk Sayyidah?  Aku bersuara dengan penuh yakin kepada emak.

Terlopong sekali lagi mulut emak.  Kali ini kukira sehabis luas. Mata emak juga sudah membulat besar memandangku.  Aku tidak peduli!  Keputusan ini muktamad.  Tiba-tiba aku terbayang susuk tubuh pemuda berjubah putih yang kukejar dalam mimpi semalam. Mimpi yang akhirnya kudapat setelah selesai sujud istikharahku yang entah untuk kali keberapa!

*********************************

 

 

 

 

 

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan