Ahad, 26 Januari 2014

Tugasan Cerpen 2 - Banjir

Teks      : Khairul Syifa Ismail
Gambar : Carian Google




http://1.bp.blogspot.com/-0ggGid8YI8o/UreQXytj1cI/AAAAAAAAAJ0/glTXacRhVE0/s1600/cerpen+baru.jpg


Tajuk : Banjir


Safiah  sudah lenguh kaki berjalan mundar- mandir dalam dewan orang ramai itu. Aina yang berada dalam dukungannnya masih merengek tidak berhanti-henti dari tadi.  Keadaan sekeliling sudah hampir sepi. Safiah menjeling  jam  di tangan kirinya.  Patutlah, sudah hampir  pukul satu pagi! Hampir semua orang sudah tidur nyenyak walaupun dalam keadaan yang agak kurang selesa. 


Sejujurnya pada pendapat Safiah, mangsa banjir yang ditempatkan dalam dewan ini tidak padan dengan kapasiti yang sepatutnya diisi.  Namun apakan daya, ini lebih baik daripada menempah maut terus tinggal di rumah sendiri.  Semua yang berada di sini hanya kerana satu sebab.  Rumah masing-masing dilanda banjir hingga melewati ke paras merbahaya. Bagi Safiah pula, ini pengalaman pertamanya menghadapi banjir serta berada di pusat penempatan mangsa banjir. Dia dan Rahmat belum sampai setahun pun menyewa rumah di Taman Kasih Murni itu. Jika menurut cerita orang-orang lama di Taman Murni Kasih, memang taman perumahan itu tidak pernah dinaiki air sebelum ini.


Mungkin itulah tanda hebatnya kuasa Allah. Manusia hanya mampu meneka-neka tetapi Allahlah yang memilih agar sesuatu perkara itu ‘ jadi’ atau tidak. Safiah tetap bersyukur kerana   bantuan segera sampai walaupun hatinya sedikit terkilan kerana hanya sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting  dan beberapa barang berharganya sahaja. Tentang rumah dan harta benda yang ditinggalkan,  Safiah terpaksa pasrah sahaja kepada Tuhan.  Dalam keadaan sekarang menyelamatkan nyawa lebih utama daripada segalanya.


Masih terngiang cemasnya suara Rahmat  menghubunginya di telefon usai mengetahui bencana banjir yang menimpa kawasan rumah mereka.  Suaminya Rahmat, bekerja sebagai pemandu lori.   Jadual kerja Rahmat memerlukan dia berlamaan di luar daerah.  Safiah enggan menyusahkan hati suaminya yang sedang mencari rezeki itu.  Berkali-kali dia meyakinkan Rahmat agar jangan bimbang kerana dia dan Aina selamat di pusat penempatan mangsa banjir ini.   


“ Assalammualaikum, adik dah ada tempat ke belum?” Tiba-tiba kedengaran satu suara menyapa dari arah belakang Safiah.  Safiah segera  berpaling.  Seorang perempuan muda yang umurnya mungkin sedikit berusia daripada Safiah kelihatan tersenyum kepadanya.


“ Waalaikumussalam, dah ada kak.  Sengaja saya berjalan-jalan nak dodoikan si kecil ini.”  Jawab Safiah sambil membalas kembali senyuman perempuan itu.


“ Akak ingat adik masih tercari –cari tempat tadi.  Kalau belum ada tempat, marilah duduk bersama akak.  Kebetulan akak pun seorang sahaja.”


“ Terima kasih banyak-banyak akak, tempat akak di  mana ya?” Tanya Safiah seakan berminat.  Kebetulan tempatnya sekarang memang agak kurang selesa kerana bersebelahan dengan sebuah keluarga yang agak besar bilangan ahlinya.


“ Di sana dik,  yang hujung sekali sebelah kanan. Jomlah! Lagipun akak seorang sahaja.  Sunyi rasanya.  Kalau ada adik bolehlah buat teman berbual.”  Kedengaran ikhlas sekali jawapan perempuan itu di hati Safiah. 


Safiah berpaling  dan cuba mencari arah yang ditunjukkan.  Wah, memang nampak agak selesa! Di hujung sekali berdekatan dengan pintu keluar  kecemasan dewan.  Safiah mengukir senyuman tanda lega.  Semoga anaknya Aina dapat tidur lena selepas ini. 


Selesai memindahkan semua barang Safiah, mereka pun mula melabuhkan punggung di atas sehelai tilam nipis yang memang disediakan untuk para mangsa banjir.  Perlahan-lahan Safiah meletakkan Aina di atas tilam itu.  Mujurlah tidur juga akhirnya Aina.  Jika tidak pasti Safiah kepenatan lagi terpaksa mendukungnya ke hulu ke hilir.  Beginilah bila sudah terbiasa tidur dalam buaian.  Bila tiada buaian sahaja mulalah Aina meragam sukar untuk tidur. 


“ Eh, kita ni belum  berkenalan lagi kan!  Nama akak Radiah, akak dari Kampung Paya Raja. Adik?”  Lamunan Safiah terhenti dengan pertanyaan perempuan yang baru memperkenalkan dirinya sebagai Radiah itu. Tangan Radiah kelihatan mesra mengusap kepala Aina yang nyenyak tidur.


“ Saya Safiah kak, ini anak saya Nur Aina. Saya dari Taman Kasih Murni. Eh, kampung Paya Raja pun kena juga ya?”


“ Iya dik, habis tenggelam sampai nampak bumbung rumah sahaja. Akak tak sempat nak selamatkan apa-apa pun.  Memang datang ke sini sehelai sepinggang sahaja.” 


“ Kak Radiah memang seorang sahajakah?”  Tiba-tiba Safiah baru teringat untuk bertanya.  Wajah Radiah berubah mendung serta merta dengan pertanyaan Safiah itu. Safiah mula diserang rasa serba salah.


“ Maaf kak, ada yang tidak kenakah dengan pertanyaan saya tadi?”


“ Sebenarnya dik, sudah dua tahun akak hidup sebatang kara sejak suami akak bawa lari anak perempuan kami entah ke mana.  Kami berselisih faham sedikit sahaja tetapi akak tak sangka dia sampai tergamak lari tinggalkan akak sendirian.  Akak tahu dia memang ada perempuan lain sebab itulah dia tinggalkan akak. Puas akak mencari mereka  tapi tak jumpa.  Akak rindu sangat dengan anak akak dik.”  Radiah bercerita panjang lebar dalam isak tangis yang mula kedengaran.


Safiah juga  mula diserang rasa sebak lantas  dipeluknya perempuan yang masih menangis kesedihan itu. Dalam diam hatinya mengutuk-ngutuk suami Radiah.  Tergamak sungguh lelaki itu memisahkan kasih seorang ibu dan anak!


 Entah mengapa perkenalan yang baru berlangsung beberapa minit itu sudah terasa kuat tautan silaturrahimnya. Sifat Radiah yang baik hati dan peramah itu benar-benar menarik hati Safiah.  Mereka mula bertukar-tukar cerita tentang diri masing-masing hingga akhirnya Safiah sendiri tidak sedar bila masanya dia terlelap mata.


            *******************************


Safiah terasa ada tangan lembut menyentuh bahunya.  Safiah membuka mata perlahan-lahan. Kepalanya terasa pening dek kerana rasa kantuk yang masih belum hilang.


“ Safiah, bangun sayang. Abang ni, Aina mana?” Kedengaran suara  Rahmat lembut menusuk ke gegendang telinganya.  Safiah segera bangun usai mendengar nama Aina disebut.


Dirabanya tilam nipis yang kosong di sebelahnya.  Matanya bulat memandang suaminya. Rasa mengantuknya hilang tiba-tiba.  Tidak sedikit pun dia terfikir untuk bertanya bila suaminya tiba.  Ada sesuatu yang mencemaskan hatinya kini.  Aina! Iya di  mana Aina anaknya? Kak Radiah? Kak Radiah juga tiada!


“ Abang, semalam Aina tidur di sini di sebelah Safiah tapi pagi ni…” Safiah tidak dapat meneruskan lagi kata-katanya.  Hatinya sudah sebak.  Air matanya sudah mula mengalir.


  Mungkin masa Aina terjaga tadi Safiah tak sedar jadi ada orang tolong mendukungnya sebentar.  Tidak mengapa, mari kita cari Aina.” Rahmat masih cuba bertenang biarpun hatinya sendiri sudah disapa debar dengan kehilangan Aina.


Usai mendengar berita rumahnya ditenggelami banjir pagi semalam, Rahmat memang tidak senang duduk.  Hatinya risau teramat mengenangkan anak dan isterinya.  Mujur majikannya berbaik hati memberikannya cuti.  Semalam juga dia memandu pulang  meredah hujan  yang masih belum reda.  Rahmat bernasib baik kerana kebanyakan jalan utama tidak ditutup. 


Sudah hampir dua jam Rahmat dan safiah berlegar-legar dalam dewan itu mencari anak mereka.  Hampir semua orang mereka bertanya jika ada ternampak Aina atau  Radiah. Namun bayang Aina masih tidak kelihatan.  Begitu juga dengan perempuan yang bernama Radiah itu.


Lebih mengejutkan lagi, apabila diperiksa  nama Radiah tiada pun dalam catatan  senarai mereka yang berada dalam pusat penempatan itu.  Malah kampung Paya Raja sebenarnya tidak terlibat pun dengan banjir besar.  Safiah rasa  menyesal teramat sangat kerana menerima pelawaan perempuan itu semalam.  Hatinya semakin  kuat kini mengatakan Radiahlah yang melarikan Aina!


Berita kehilangan anak Safiah cepat sahaja tersebar dalam dewan yang padat dengan manusia itu. Apa yang pelik, tiada seorang pun saksi yang nampak akan Radiah atau Aina.  Mungkin juga dalam keadaan manusia yang terlalu ramai agak susah untuk mengecam  siapa yang keluar masuk ke dewan ini. Kepada pihak berwajib juga sudah dimaklumkan.  Apa lagi yang boleh dilakukan kini selain daripada berdoa banyak-banyak kepada Allah agar anaknya yang baru berusia 11 bulan itu ditemui semula.


 


“ Puan Safiah , rasanya anak puan sudah ditemui.  Cepat,  mari ikut saya!”  Kata-kata   itu benar-benar memberi harapan yang bersinar-sinar kepada safiah.  Safiah bingkas bangun diiringi dengan Rahmat.  Pantas mereka mengikut Petugas yang memakai jaket tertera tulisan SUKARELAWAN itu.


Safiah nampak Aina dari kejauhan! Aina sedang didukung oleh seseorang tetapi yang pasti bukan Radiah.  Safiah menghayun langkah kakinya laju tetapi hatinya semakin tidak sabar langsung dia berlari sekuat hati ke arah Aina.  Diragutnya  tubuh Aina terus daripada tangan seorang perempuan tua yang sedang mendukungnya.  Safiah memeluk erat dan mengucup berkali-kali pipi Aina sambil menangis kegembiraan. Sesunguhnya kehilangan Aina untuk beberapa jam lalu terlau azab buat hatinya.


Rahmat turut menyertai isterinya.  Didakapnya Safiah dan Aina sekaligus tanpa rasa segan silu dengan mata-mata yang memandang.  Hatinya juga merafak syukur teramat sangat ke hadrat Ilahi.


“ Hoi perempuan tak malu! Bagi balik anak aku! Sudahlah laki aku kau ambik anak aku pun kau nak kebas!”   Tiba-tiba semua orang dikejutkan dengan satu suara kasar yang menerjah.


Serentak  semua orang  memandang mencari dari mana datangnya arah suara itu.   Kak Radiah! Safiah nampak  Radiah  terjerit-jerit sampil membawa parang panjang sedang menghampiri dia, Aina dan suaminya. Rahmat segera menarik isteri dan anaknya ke belakang.  Suasana menjadi semakin kecoh.  Radiah dihalang, orang ramai memegang badannya yang meronta-ronta dan akhirnya  parang panjangnya berjaya dirampas.


 Safiah terkejut dan keliru teramat sangat dengan apa yang disaksikannya tadi.  Radiah yang dikenalinya semalam sangat lemah lembut tutur katanya telah berubah bengis hari ini.  Kereta peronda polis dan sebuah ambulan juga tiba serentak. Radiah masih meracau-racau memanggil-manggil anaknya. Radiah terpaksa diikat tubuhnya agar tidak meronta sebelum dimasukkan ke dalam ambulan.  Safiah memalingkan wajahnya enggan melihat lagi.  Aina yang berada dalam pelukannya juga senyap seakan trauma dengan apa yang berlaku.


“ Anak, boleh makcik bercakap sekejap”  Tiba-tiba Safiah disapa satu suara lembut.  Perempuan tua yang mendukung Aina tadi rupanya. Entah bila dia berdiri di sebelah Safiah pun Safiah tidak menyedarinya.


Rahmat memandang perempuan tua itu dengan sedikit pandangan curiga.  Tangannya yang memaut bahu Safiah dikejapkannya lagi. Rahmat masih bimbang akan keselamatan Safiah dan Aina.


  Mak Cik cuma nak minta maaf  bagi pihak anak mak cik.  Sebenarnya anak mak cik  tu sedikit kurang siuman. Pukul tiga pagi tadi tiba-tiba sahaja dia bawa balik  seorang anak kecil ke rumah. Masa dia tertidur pagi tadi, senyap-senyap mak cik bawa budak tu ke mari semula. Mak cik yakin dia ambil budak tu di sini sebab semalam dia beritahu nak datang dewan ini cari anaknya.” Suara perempuan tua itu terhenti seketika diganti dengan bunyi esak tangis. Sayu pula hati Safiah melihatnya namun mulut Safiah dan Rahmat masih terkunci mati.


 “ Radiah anak mak cik  ni kuat cemburu orangnya. Macam-macam dituduh suaminya konon ada perempuan lain dan sebagainya.  Namun menantu mak cik tetap sabar.  Radiah kerap mengugut mahu bercerai sahaja dengan suaminya.  Sehinggalah tiba pada  suatu malam, masa tu musim hujan lebat macam inilah.  Mereka bertengkar lagi.  Tiba-tiba  air naik mendadak masuk dalam rumah. Air naik dengan cepat sekali.  Bantuan pula agak lewat sampai.  Kami berempat terpaksa memanjat bumbung rumah menunggu bot penyelamat tiba.  Hajat Radiah yang terlau ingin sangat berpisah dengan suaminya seakan dimakbulkan Allah pada malam itu.  Menantu mak cik yang sedang  mendukung anak tunggal mereka yang baru berusia 6 bulan  tergelincir kakinya ketika hendak melangkah ke atas bot penyelamat.  Mereka dua beranak terjatuh dalam air banjir yang deras mengalir.  Mak Cik dan Radiah hanya mampu menjerit menyaksikan kejadian yang berlaku depan mata kami.  Air terlalu deras dan dalam.  Usaha menyelamat juga  tidak berjaya.  Sudah dua tahun berlalu tetapi sampai hari ini jasad suami dan anak Radiah masih belum ditemui.  Sejak peristiwa itulah dia mengalami tekanan perasaan. Sudah puas mak cik bawa dia pergi  berubat namun Radiah masih tak sembuh-sembuh juga.  Mak Cik rayu sekali lagi nak, maafkan anak mak cik ya!”


Mulut Safiah sedikit  terlopong mendengar cerita panjang lebar yang baru keluar dari mulut seorang ibu tua itu.  Sedikit pun dia tidak menyangka begitu pula  kisah sebenar  perempuan yang baru dikenalinya semalam.  Masih  terbayang jelas di mata Safiah  wajah murung  Radiah ketika  perempuan itu menceritakan kisah sedih anaknya dilarikan suaminya. Malah Safiah juga turut bersedih dengan kisah yang ternyata satu rekaan itu!


Safiah menarik nafas panjang sambil beristighfar.  Tangan ibu tua di sebelahnya dipegangnya perlahan-lahan.  Anaknya Aina sudah berpindah  ke pangkuan Rahmat pula.  Direnungnya wajah tua itu.  Ada air mata yang masih bersisa di kelopak mata yang berkedut itu lalu  Safiah merangkul erat badan tua itu. Tanpa sedar air mata Safiah  juga turut mengalir laju.  Hatinya mengucap syukur kerana Aina selamat dan dalam masa yang sama Safiah juga meratib doa yang tidak putus untuk Radiah dan ibu tua yang sedang dipeluknya itu.  Satu lagi harapan Safiah, semoga banjir ini juga cepat surut hendaknya.  Hatinya kini benar-benar ingin segera pulang ke rumah!


*********************************


 


 


 


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan