Ahad, 5 Januari 2014

Menyiapkan Lampu Untuk Kubur yang Gelap

Teks      : Khairul Syifa Ismail
Gambar : Carian Google

Assalammualaikum, salam ukhwah!

Sebentar tadi mata saya sudah agak berat sebenarnya.  Bagaikan ada seketul batu di atas kelopak mata yang memaksa-maksa agar mata saya tertutup.  Teramat mengantuk dan letih rasanya.  Baru lepas menggosok pakaian seragam sekolah anak-anak dan pakaian rasmi kerja encik suami tercinta.  Bayangkan saya menggosok tanpa henti untuk stok pakaian mereka yang akan dipakai selama seminggu! Boleh tahan juga lenguhnya tangan.  Tidak mengapalah, demi keselesaan  anak-anak dan suami segalanya sanggup saya korbankan.

Selesai menggosok  memang saya bercadang untuk menulis sebentar di laman ini kemudian mahu terus tidur.  Tiba-tiba baru teringat saya masih belum melaksanakan satu lagi rutin malam saya iaitu membaca surah al-Mulk sebelum tidur. Selepas berwudhuk , Alhamdulillah terasa segar kembali dan hilang segala rasa mengantuk tadi.  Memang hebat penangan hikmah berwudhuk ini!  Saya mencapai al-Quran lalu membaca surah al-Mulk seperti biasa.  Syukurlah saya tidak terlupa.

Usai melafazkan sodaqallahula'zim tanda berakhir bacaan, baru terperasan ada mata yang sedang memerhati saya.  Anak saya, Abdullah Kholis belum tidur rupanya.  Tubuhnya sudah berguling di atas katil lalu saya sangka dia sudah tidur kerana kelihatan senyap saja dari tadi. Tiba-tiba dia bertanya kepada saya.  " Kenapa umi suka baca Surah al-Mulk setiap malam?"

Hmm...ikut hati sebenarnya agak letih untuk bersoal jawab dengan  anak seorang ini.  Namun saya tahu jika saya tidak layan persolannya pasti dia akan menyoal dengan lebih banyak lagi ataupun mungkin terus merajuk. Lalu saya  menerangkan kepadanya sebaik mungkin mengapa saya membaca surah al-Mulk setiap malam.  Sebenarnya saya amalkan amalan ini sejak dari alam sekolah menengah lagi.  Saya masih ingat lagi seorang ustaz pernah bertanya kepada para pelajar, kubur itu gelap, siapa mahu bawa lampu ke dalam kuburnya? Ramai  pelajar yang mengangkat tangan termasuklah saya.  Lalu ustaz itu pun bercerita suatu kisah kepada kami semua.

Kisahnya menarik dan saya kira ia mungkin sudah terkenal di kalangan mereka yang pernah menuntut ilmu di bumi Mesir sekitar tahun 90an.  Cerita ustaz saya itu berkisar tentang bagaimana seorang penjaga kubur di Mesir yang terjaga di tengah malam kerana terdengar suara seakan-akan sedang membaca al-Quran.  Penjaga kubur ini mengambil keputusan untuk mencari dari mana datangnya arah suara itu. Sedang dia tercari-cari, tiba-tiba dia ternampak suatu cahaya datang  dari salah satu kubur di situ.  Lebih mengejutkan lagi apabila dia menghampiri kubur yang bercahaya itu, rupanya suara yang sedang mengaji tadi juga datang dari kubur yang sama.

Penjaga kubur itu beristighfar panjang dengan peristiwa yang berlaku di depan matanya.  Dia cuba mengamati  bacaan ayat suci yang kedengaran daripada suara itu.  Ternyata ianya adalah surah al-Mulk.  Pada keesokan harinya, penjaga kubur itu cuba menyiasat latar belakang si mati yang dikebumikan di kubur tersebut.  Subhanallah, dia sangat terkejut rupanya yang dikebumikan di kubur itu ialah seorang gadis muda yang tidak pernah meninggalkan langsung bacaan Surah al-mulk semasa hayatnya!

Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran kisah ini.  Namun saya positif mengambilnya sebagai pengajaran diri. Ia telah menjadi inspirasi saya untuk terus istiqomah dengan amalan ini. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w,

                " Surah Al-Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur"

Saya percaya tiap kalam Allah itu jika dibaca pasti akan memberi syafaat. Kita semua akan dijemput tuhan suatu hari nanti.  Tiada bahagia dan cahaya menanti sekiranya tiada persiapan rapi.  Semoga kalam Allah yang dibaca inilah menjadi syafaat dan peneman diri buat menempuh gelap pekat di alam kubur nanti.  InsyaAllah, amin.

Sehingga bertemu lagi, wassalam.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan