Rabu, 8 Januari 2014

Menulis Biar Dapat Rahmat dan Berkat-Nya

Teks      : Khairul Syifa Ismail
Gambar : Carian Google






Assalammualaikum, salam ukhwah!
Petang semalam saya berkesempatan berbual dengan seorang sahabat di laman Facebook. Dia meluahkan rasa bimbangnya tentang status yang ditulisnya selama ini adakah benar-benar dapat memberi pahala kepadanya. Sebenarnya dia seorang yang hebat di mata saya.  Kebanyakan statusnya menarik dan penuh mesej dakwah. Saya kira tentu sudah ramai sahabat yang membaca statusnya mendapat manfaat sama seperti saya.  Namun dia tetap merendah diri dengan mengatakan dia masih mencari cara menulis yang terbaik supaya apa yang ditulis benar-benar memberi pulangan berkat di sisi Allah.

 Katanya menulis juga seperti membuat satu pelaburan. Orang yang melabur pasti mengharap pulangan keuntungan. Begitu juga dengan seorang penulis, perlu berfikir terlebih dahulu apakah yang akan diperolehi kembali  dengan hasil penulisannya. Jika berfikir daripada segi material, sudah tentu kita terbayangkan karya yang ditulis mahu dihargai dan dipuji hebat. Jika sampai sudah boleh diterbitkan pula sudah tentu mengharapkan ramai yang membeli dan di situ pasti ada pulangan lumayan kepada si penulis. Namun sahabat saya tidak bermaksud sedemikian. Dia terfikir adakah penulisannya selama ini banyak mengundang dosa atau pahala?
Subhanallah, saya kagum dengan kebimbangannya! Kata-katanya membuatkan saya muhasabah kembali tujuan saya menulis selama ini.  Saya memang menulis dengan niat untuk berdakwah tetapi sudah menepatikah ciri-ciri itu dalam penulisan saya selama ini? Adakah hasil tulisan saya selama ini benar-benar telah memberi  impak positif kepada yang membacanya? Adakah hasil karya saya sekadar orang suka-suka sahaja bila membaca tetapi tidak pernah pun masuk dalam jiwa mereka?

Terasa kerdil diri ini. Apa akan saya jawab jika Allah persoalkan di Mahsyar kelak kenapa saya menulis begitu atau begini hingga melalaikan orang yang membacanya!  Nauzubillah, saya pohon keampunan Allah.  Diri saya teramat lemah untuk menghalusi setiap perkara ini. Cuma yang termampu, cuba sehabis daya untuk menulis berpandukan kalam-Nya. Saya mohon hidayah Allah agar sentiasa diberi ilham yang tidak tersasar.
Teringat kata-kata seorang penulis idola saya iaitu Profesor Muhd Kamil Ibrahim. Katanya sebelum mahu menulis atau berbicara pasti dia akan memohon petunjuk daripada Allah terlebih dahulu.  Dia akan bermunajat dalam solat dan doanya agar setiap apa yang ditulis atau dituturkannya nanti bakal memberi manfaat kepada orang.  Kesannya, semua hasil karyanya tercatit sebagai “ terlaris di pasaran” dan tiap bait ayat catatannya pasti meruntun jiwa yang membaca.  Apa yang lebih penting, hasil tulisannya banyak membawa hati-hati agar lebih dekat pada Ilahi. Tabarakallah! Mampukah tulisan saya juga menjadi seperti itu?

Ramai yang tidak menyedari, betapa hasil penulisan ini sebenarnya boleh menjadi jariah yang membantu kita di alam abadi  nanti.  Jika kita menulis dengan niat agar manusia kenal penciptanya atau umat kasihkan Rasulnya, sudah pasti dapat pahala dan berkat yang berpanjangan. Apatah lagi jika ilmu yang ditulis itu kemudiannya disampai menyampai sesama manusia lain pula. Hasilnya Ia kekal menjadi salah satu jariah yang terus mengalir pahalanya.  Sebagaimana pesan dalam sabda baginda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

"Sesungguhnya di antara amal kebaikan yang mendatangkan pahala setelah orang yang melakukannya meninggal dunia ialah ilmu yang disebar luaskannya, anak soleh yang ditinggalkannya, mushaf (kitab-kitab keagamaan) yang diwariskannya, masjid yang dibina, rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan. sungai yang dialirkannya untuk kepentingan orang ramai, dan harta yang disedekahkannya "

(Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Jadi kesimpulan yang saya temui di sini, menulislah dengan hati yang takut kepada Allah.  InsyaAllah tempiasnya perasaan  itu pasti turut terkena kepada yang membaca. Janganlah menulis kerana suka-suka sahaja tanpa peduli batas syariat agama, bimbang juga dosa yang terpalit membawa ke neraka. Semoga saya dan rakan-rakan penulis akan terus diberi ilham yang baik-baik sahaja. Semoga hasil penulisan kita juga mampu menjadi jariah bak sungai yang mengalir tanpa henti andai diri ditakdirkan dipanggil Ilahi suatu hari nanti.  InsyaAllah.

 Hingga ketemu lagi, wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan