Rabu, 29 Januari 2014

Jenguklah Mereka Selagi Masih Ada


Teks       : Khairul Syifa Ismail

Gambar : Carian Google

 

http://2.bp.blogspot.com/-pE2iy84NAxk/UoCp-iIt8lI/AAAAAAAAA7k/8ji9h88A3cQ/s1600/air-mata-ibu.jpg

Assalammualaikum, salam ukhwah!

Lama tidak menulis di bawah label catatan harian ini.  Saya sibuk menyiapkan beberapa tugasan Kelas Asas Blog Dan Penulisan Kreatif.  Alhamdulillah, setakat ini tiga cerpen yang diamanahkan telah berjaya saya siapkan. Saya merasai pengalaman hilang punca mencari ilham.  Bila ilham sudah ada, hilang kata pula untuk terus menggarap cerita.  Namun pengalaman itu semakin manis untuk saya nikmati.  Benar kata Kak Mon ( guru kesayangan saya ),  jangan putus asa.  Bila jatuh bangun kembali, yang penting usaha dan terus berusaha.  Pasti ada manis yang menanti di penghujungnya.

Sekarang saya dalam usaha menyiapkan pula tugasan yang seterusnya iaitu membuat ulasan e book yang diberi.  InsyaAllah saya akan cuba melakukan yang terbaik.  Cuma agak merunsingkan, esok saya akan bertolak pulang ke kampung di Kelantan. Gembira dapat pulang ke kampung tetapi sedikit risau apabila mengenangkan talian internet yang sedikit kurang mesra di sana.  Semoga Allah permudahkan segala urusan kelas online saya nanti hendaknya.

Saya juga berharap janganlah berlaku kesesakan jalanraya yang luar biasa esok.  Bimbang juga rasa di hati.  Maklumlah esok kebanyakan warga kota sudah mula bercuti sempena Tahun Baru Cina.  Perjalanan biasanya memakan masa 8 jam ( dengan gaya pemanduan suami saya) tetapi kalau bertembung dengan kesesakan boleh melarat sehingga ke 12 jam. Saya tidak bercakap kosong. Sesungguhnya saya memang pernah merasai pengalaman itu berkali-kali!

Namun jauh di sudut hati, saya akur bahawa semua ini satu pengorbanan.  Pengorbanan kami suami isteri dalam menggembirakan hati seorang tua yang bergelar ibu.  Usai cuti menjenguk pasti ibu mertua saya akan ternanti-nanti kehadiran kami anak beranak.  Sayu juga mengenangkan dirinya di kampung yang menganyam rindu siang malam buat kami sekeluarga. Apatah lagi suami saya ditakdirkan anak tunggal dalam keluarga.  Satu-satunya buah hati ibunya yang tercinta.

Kebetulan ibubapa saya juga sudah tiada.  Hanya tinggal dia satu-satunya ibu yang saya ada buat meraih kasih dan doa. Jadi apa salahnya reda dengan sedikit kepayahan ini. Saya sudah merasa peritnya kehilangan emak dan ayah yang tercinta. Betapa dunia yang riuh terasa sepi seketika. Tiada lagi tempat untuk saya merayu restu dan berkongsi cerita suka duka.  Arwah emak tercinta dijemput Ilahi  dua tahun yang sudah.  Duka saya  belum sempat pun terawat lalu  dikejutkan pula dengan pemergian ayah tercinta pada Julai tahun lepas.

 

Jika rutin saya sebelum ini menjenguk mereka setiap minggu, kini diganti dengan hanya mengunjugi pusara mereka sahaja.   Sungguh saya katakan, tidak sama rasanya! Jadi berbaktilah selagi  ibubapa kita masih ada.  Jangan lokek waktu untuk menjenguk mereka.  Walau jauh di negeri mana pun mereka berada, usahalah untuk pulang walau seketika.  Jika mereka sentiasa ada masa sewaktu membesarkan kita dahulu, kita juga wajib mencari masa itu untuk mereka pula sekarang.  Pesan saya buat diri sendiri dan sahabat semua, jenguklah kedua ibubapa kita selagi nafas mereka dan nafas kita masih ada.  Ingatlah reda ibu bapa itu juga reda Allah kepada setiap hambanya.  Jangan sampai kita miskin rahmat dan kasih Allah  lantaran  kita jahil menjaga hati  hati kedua-dua mereka.  Wallahua’lam

Sehingga bertemu lagi, wassalam

 

"Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah pula terletak pada kemurkaan ibu bapanya."


(Hadis Riwayat Tirmizi dan Hakim).

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan