Sabtu, 11 Januari 2014

Ajarku Bersyahadah

Teks :  Khairul Syifa Ismail






 


Assalammualaikum, salam ukhwah!


 


Setiap kali saya membaca atau mendengar berita tentang Filipina, pasti hati saya disapa rasa debar kerana teringatkan kepada seseorang. Dia insan istimewa di mata saya.  Kerana dia saya amat menghargai nikmat iman dan Islam yang saya miliki sehingga  hari ini.


 


Kisahnya begini, sekitar hujung tahun persekolahan sesi 2009, ( jika tidak silap saya ) saya hadir awal pagi seperti biasa ke sekolah.  Memandangkan suami saya juga seorang guru dan mengajar di sekolah lain, kami terpaksa keluar awal untuk ke tempat kerja.  Dia akan menghantar saya terlebih dahulu kemudian baru ke tempat kerjanya pula.  Maka jadilah saya guru yang terawal datang ke sekolah setiap hari. Sekitar jam 6.55 hingga ke jam 7.00 pagi merupakan waktu biasa saya  sampai ke sekolah.  Atas sebab itulah, admin memberi kepercayaan untuk saya memegang kunci pejabat sekolah dan bilik guru.


 


Bangunan sekolah tempat saya mengajar berada dalam satu pagar dengan sebuah surau.  Biasanya bila saya hadir awal pagi, pasti saya akan bertembung dengan para jemaah yang baru selesai solat subuh.  Jadi suasana tidaklah terlalu sunyi.  Pada suatu pagi sedang saya asyik cuba membuka kunci pintu pejabat sekolah, saya terasa diri sedang dihampiri seseorang dari belakang.  Apabila saya menoleh kelihatan seorang wanita yang usianya mungkin sekitar 40an sedang  berdiri di belakang saya.


 


Wajahnya tiada langsung walau segaris senyuman.  Rambutnya panjang melepasi bahu diikat rapi. Wajahnya seakan wanita berbangsa Melayu.  Saya cuba menghulurkan senyuman walaupun hati saya agak terkejut sebenarnya dengan kehadiran seorang manusia tanpa memberi salam itu.  Hajat hati mahu menyapa bertanyakan apakah tujuannya muncul tiba-tiba di belakang saya.  Belum sempat saya bersuara tiba-tiba muncul pula seorang lagi wanita yang memakai tudung terkocoh-kocoh menghampiri kami.


 


" Salamelekum puan, boleh jumpa tuan imam?" perempuan bertudung itu berkata dalam bahasa Melayu yang sangat pelat.  Oh, mahu jumpa tuan imam rupanya mereka. Seringkali pejabat sekolah disalah tafsir sebagai pejabat tuan imam memandangkan sekolah kami dan surau sepagar.  Saya pun menerangkan kepada perempuan itu yang dia tersalah tempat. Saya cuba membawanya ke pejabat surau tetapi sayangnya berkunci dan tiada orang.  Mungkin semua jemaah surau sudah pulang ke rumah masing-masing termasuklah tuan imam.


 


Wajah mereka teramat kecewa. Saya nasihatkan mereka datang lagi pada waktu solat Zohor nanti dan InsyaAllah tuan imam ada pada waktu itu.  Kedengaran wanita bertudung itu menerangkan sesuatu kepada rakannya yang seorang lagi.  Kali ini pertuturan mereka langsung tidak saya fahami.  Mereka bertutur dalam bahasa Tagalog  agak saya ( berdasarkan pengalaman saya yang pernah menonton telenovela Filipina di televisyen ). Wajah perempuan yang tidak bertudung itu ternyata  resah sekali setelah mendengar kata-kata rakannya.  Saya tidak pasti apa yang dikatakan rakannya, mungkin menterjemahkan kata-kata saya tadi agaknya supaya datang semula selepas ini.


 


Saya mula mengatur langkah untuk meninggalkan mereka.  Tiba-tiba kedengaran lagi suara wanita bertudung yang bercakap bahasa Melayu pelat tadi memanggil saya.


 


"  Puan, tolong la. Kawan saya ni mau Islam sekarang!



Langkah saya terhenti mendenagr kata-katanya.  Saya hampiri mereka kembali.  Sebenarnya perkataan ISLAM yang terkeluar dari mulutnya tadi yang membuatkan saya amat berminat untuk bertanya lebih lanjut.  Wanita yang bertudung itu memperkenalkan namanya dan nama rakannya kepada saya. Saya kisahkan di sini sebagai Puan Bi dan Puan Ci sahaja ( bukan nama sebenar ).


 


Saya mengajak mereka masuk ke dalam pejabat sekolah.  Dalam susah payah saya cuba memahami cerita yang mahu disampaikan oleh Puan Bi. Akhirnya saya faham tujuan mereka. Rupanya Puan Bi dan Puan Ci berasal daripada Filipina.  Puan Bi sudah lama berada di Malaysia  dan memeluk Islam selepas berkahwin dengan warga Malaysia.  Manakala Puan Ci pula baru beberapa bulan tiba di Malaysia dan bekerja sebagai pembantu kedai makan di Chow Kit.  Puan Ci tidak pandai berbahasa Melayu langsung.  Cuma boleh berbahasa Filipina dan sedikit bahasa Inggeris sahaja.


 


Agak tersentap hati saya apabila mengetahui tujuan sebenar mereka mencari tuan imam pada pagi hari lagi. Sahabat Puan Bi yang bernama Puan Ci itu mahu memeluk Islam rupanya.  Saya maklumkan sekali lagi yang dia perlu menunggu imam kerana saya tidak arif hal ini.   Namun saya cukup  tersentak apabila Puan Ci mengatakan dia tidak boleh menunggu lagi. Dia mahu masuk Islam sekarang! Katanya dia sudah lama rasa terpaut dengan Islam sejak tinggal bersama Puan Bi.  Dia rasa tenang apabila melihat Puan Bi sekeluarga bersolat dan mengamalkan  cara hidup Islam.


 


Sehinggalah pada malam tadi dia didatangi mimpi yang pelik.  Saya agak kurang faham apa isi mimpinya kerana ayat yang diceritakan agak berbelit-belit dan bercampur-baur pula dengan bahasa yang sukar difahami.  Namun deraian air matanya yang turun ke pipi sepanjang dia bercerita seolah memberitahu saya yang dia sebenarnya telah mendapat hidayah Allah.


 


Sekali lagi saya memujuknya agar menunggu tuan imam sahaja untuk memeluk Islam. Ternyata Puan Ci kelihatan marah.  Dia mula bercakap dalam bahasa Tagalog yang pekat.  Sekali lagi, langsung tidak saya fahami.  Puan Bi hanya mengangguk-ngangguk dan menggeleng kepala sahaja sepanjang mendengar omelan rakannya itu. Selesai Puan Ci berkata-kata, barulah Puan Bi mula bersuara kepada saya.


 


" Puan, kawan saya kata dia mau Islam sekarang. Dia takut kalau lambat-lambat nanti mana tau dia mati kejap lagi tak sempat Islam.  Dia sudah suka Islam. Dia mau Islam sekarang juga. Dia mau puan Islamkan dia!"


 


Saya amat terkejut mendengar kata-kata Puan Bi.  Dugaan apakah ini? Meskipun saya seorang ustazah tetapi dek kerana terasa  ilmu masik cetek langsung saya tidak berani untuk masuk campur hal besar seperti ini.  Atas sebab itulah saya mahu tuan imam surau sahaja yang menguruskannya. Namun kata-kata Puan Ci tadi bagai belati tajam menikam hati saya.  Mujurlah seorang lagi sahabat guru  kebetulan telah tiba diikuti pula dengan majikan saya. Kami mula berbincang tindakan yang sebaiknya perlu diambil.  Akhirnya semua sepakat agar saya mengangkat Syahadahnya dahulu kemudian majikan saya akan membantu untuk membawa mereka ke pejabat agama Islam  bagi urusan seterusnya.


 


Entah mengapa terasa debar teramat sangat bila disuruh mengajar syahadah kepada seorang yang ingin memeluk Islam. Pendek kata sayalah yang harus mengislamkannya dahulu! Mujurlah  saya pernah melihat sekali cara arwah ayah  mengislamkan seorang saudara baru beberapa tahun yang lalu.  Lalu otak saya ligat memikirkan kembali peristiwa itu.  Akhirnya saya cuba kuatkan semangat demi memenuhi permintaan seorang manusia yang telah diberi hidayah Allah ini.


 


Perkara pertama yang saya pinta Puan Ci lakukan ialah menyebut perkataan 'Ahad ' sambil mengangkat jari telunjuknya. Saya minta dia menyebut berulang kali kalimah ' Ahad ' sambil menerangkan ertinya iaitu Allah itu satu.  Allah itu tiada sekutu dengan sebarang benda dan perkara di dunia ini dan Allah itu Maha Berkuasa dan Maha Esa.  Kemudian barulah saya mula mengajar  patah demi patah perkataan yang terdapat dalam Kalimah Syahadah beserta maksudnya. Anehnya, saat saya memimpinnya menyebut kalimah agung itu hati saya diserang rasa syahdu dan sebak-tiba-tiba.


 


Hampir 30 tahun lamanya saya hidup sebagai seorang Islam tetapi sungguh saya katakan, inilah kali pertama saya berasa teramat syahdu dan menghayati segenap hati tentang erti Syahadah ini.  Rasanya amat berlainan sekali! Perasaan itu terlalu indah untuk saya ungkapkan dengan kata-kata.  Selesai bersyahadah, air mata Puan ci berlinangan turun ke pipinya. Saya juga tidak mampu menahan sebak lagi lalu  saya memeluk erat tubuh Puan Ci yang kini telah ISLAM!


 


Saya meminta dia memilih nama yang sesuai dengan identiti Islamnya kini.  Saya senaraikan tiga nama untuk dipilihnya iaitu Nur Khadijah, Nur Aisyah dan Nur Aminah.  Sengaja saya memilih nama-nama wanita terbilang dalam sejarah Islam ini. Dengan harapan tempias akhlak mulia mereka akan turut terkena pada saudara baru di hadapan saya ini. Lalu dia memilih Nur Aminah.  Wajah Nur Aminah jika tadi memang teramat masam dan sugul.  Alhamdulillah selepas dia bersyahadah saya dapati perbezaan pada air mukanya.  Ternyata wajah Nur Aminah tampak amat berseri-seri. Begitulah hebatnya kuasa Allah!


 


Majikan saya telah berbesar hati untuk membantu membawa Nur Aminah ke pejabat agama Islam negeri.  Tujuannya agar Nur Aminah dapat didaftarkan pengislamannya mengikut undang-undang yang telah ditetapkan. Nur Aminah meminta bantuan saya untuk mengajarnya lebih mendalam tentang Islam dan membaca Al-Quran.  Entah mengapa ketika itu tanpa berfikir panjang lagi saya terus bersetuju untuk membantunya.


 


Setiap petang selesai saya mengajar, pasti Nur Aminah akan menunggu saya di kantin sekolah. Dia akan menaiki bas dari tempatnya bekerja iaitu Chow Kit dan turun di hadapan sekolah tempat saya mengajar. Sementara menunggu encik suami datang menjemput pulang, saya mencuri masa lebih kurang 40 minit untuk mengajarnya membaca Al-Quran dan Fardhu Ain.  Saya masih ingat lagi kegigihannnya membaca  buku Iqra dan menghafaz bacaan dalam solat.  Dia sangat bersungguh untuk mendalami Islam yang baru dianutinya.  Setiap hujung minggu pula, Nur Aminah akan mengikuti kelas khusus untuk saudara baru yang diadakan oleh PERKIM.


 


Hubungan saya dan Nur Aminah semakin rapat dari hari ke hari.  Meskipun saya dan dia tidak dapat berbual dengan ayat yang sempurna dek kerana masalah bahasa, namun tautan hati kami semakin erat.  Sehinggalah cuti akhir penggal persekolahan tiba.  Saya memaklumkan kepadanya yang saya tidak dapat mengajarnya sepanjang cuti ini kerana akan pulang ke kampung.  Kami berjanji akan bertemu lagi apabila sekolah mula dibuka nanti. 


 


Namun belum sempat cuti berakhir, saya telah dikejutkan dengan satu berita.  Saya masih ingat lagi, suatu pagi saya telah menerima satu mesej pesanan ringkas pada telefon bimbit.   Mesej itu dihantar oleh Nur Aminah.  Dia memaklumkan kepada saya yang dirinya terpaksa pulang segera ke  Filipina kerana ada urusan keluarga.  Dia berjanji sekiranya  masalah keluarganya telah selesai, dia akan kembali semula ke Malaysia dan akan menyambung kembali pembelajaran tentang Islam dengan saya.  Hanya tuhan yang tahu betapa sedihnya hati saya ketika itu.


 


Saya berasa amat berat untuk melepaskan Nur Aminah pulang ke negaranya.  Bukan sekadar berasa sedih kerana berpisah dengan seorang sahabat tetapi hati saya juga turut diserang rasa bimbang.  Saya sangat bimbang jika Nur Aminah tidak kembali lagi ke Malaysia selepas ini.  Kebimbangan saya akhirnya menjadi kenyataan.  Minggu demi minggu, bulan demi bulan, tahun demi tahun dan akhirnya sehinggalah  ke saat ini Nur Aminah tidak lagi saya temui. 


 


Setiap hari hati saya resah memikirkan insan yang bernama Nur Aminah.  Kepada Puan Bi rakannya saya meminta maklumat.  Sayangnya Puan Bi juga tidak tahu alamat sebenar Nur Aminah di Filipina. Puan Bi juga terputus hubungan dengannya selepas Nur Aminah pulang ke Filipina. Pelbagai persoalan dan prasangka mula menyerang di fikiran saya.  Paling saya takut sekiranya tiada sesiapa yang membimbingnya lagi lalu dia...aduh, saya tidak tergamak mahu menyebutnya di sini!  Ya Allah, tetapkanlah Nur Aminah dalam lembayung rahmat dan hidayahmu!


 


Sehingga kini, walaupun peristiwa itu telah hampir 5 tahun berlalu namun hati saya tidak pernah berhenti berdoa.  Saya tidak mengharapkan sangat untuk bertemu dengan Nur Aminah lagi cuma saya teramat berharap agar Nur Aminah masih lagi seorang Islam walau di mana pun dia berada.  Saya berdoa agar imannya tidak goyah walau apapun yang berlaku.  Maha Suci Allah yang mengurniakan hidayah ini kepadanya.  Semoga Rahman dan Rahim Allah jugalah yang akan terus memelihara hidayah dan iman Nur Aminah.


 


Pengalaman ini sesungguhnya teramat berharga buat diri saya.  Sungguh, sejak peristiwa itu saya semakin belajar menghargai Syahadah yang saya lafazkan selama ini! Betapa selama ini diri saya yang Islam keturunan tetapi kerap alpa dan leka dengan nikmat syahadah kurniaan Allah.  Sejak kecil kita didodoikan ibu dengan Kalimah Syahadah.  Apabila semakin dewasa, kita terbiasa kalimah mulia ini dialunkan sebagai zikir dan nasyid pula.  Lalu lancarlah lidah kita mengalunkan kalimah ini.  Persoalannya adakah kita menyebutnya dengan rasa dan qasad hati yang mendalam? Adakah kita terasa keindahannya atau bergetarkah hati dengan rasa gentar pada Allah tatkala melafazkannya.


 


Dalam solat juga kita menyebutnya dua kali dalam setiap duduk tasyahud.  Bayangkan jika sehari solat lima kali, seminggu sudah 35 kali, sebulan? Setahun? Subhanallah, tidak terhitung banyaknya kali bibir kita telah melafazkan Kalimah Syahadah ini! Apabila sudah terlalu biasa melafazkannya, kadang-kadang nilai mahalnya kian hilang di hati.   Sebut pun biasa-biasa sahaja dan kesan di hati juga pasti biasa-biasa juga. Tanpa sedar lafaz  Kalimah Syahadah itu sebenarnya menuntut satu janji.  Janji bahawa kita semua akan menjadi hamba Allah dan umat Nabi Muhammad s.a.w  yang sejati!  Janji itulah yang akan dipersoalkan Allah pada hari perhitungan abadi nanti.


 


Sehingga bertemu lagi, wassalam


 


" Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian ke atas diri mereka , Bukankah Aku ini Tuhanmu? Mereka menjawab, ya kami bersaksi!"


                                                                             ( Surah al-A'raf  : 172 )


 


 

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum, Subhanallah, saya juga sebak bila sampai bahagian 'saya' ajarkan puan ci tentang kalimah Ahad.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumussalam..ya, suatu pengalaman yang cukup menyentuh jiwa saya sehingga hari ini.

      Padam