Jumaat, 17 Januari 2014

Adab Dalam Meminta

Teks : Khairul Syifa Ismail




Assalammualaikum, salam Ukhwah!


Hampir dua hari  saya tidak bertamu di laman ini.  Sebenarnya saya agak sibuk dengan sedikit urusan keluarga dua tiga hari ini. Sesungguhnya  Allah telah menguji saya dengan sedikit ujiannya. Lumrah manusia, usai ditimpa masalah pasti teringat kembali untuk berlamaan di sejadah.  Mungkin itulah hikmahnya.

Apabila ditimpa dugaan sebegini, solat taubat dan hajatlah menjadi sandaran utama untuk saya berbicara serta mengadu rasa kepada Allah. Ini pesan guru saya sewaktu zaman belajar dahulu.  Jika mahu meminta jangan terus nyatakan hajat tetapi mulailah dengan solat sunat taubat.  Tujuannya, manalah tahu dugaan yang menimpa kita itu sebenarnya satu kaffarah atas sesuatu dosa yang telah kita lakukan.

Jadi bertaubat dan menyucikan hati lebih utama sebelum meminta.  Kemudian barulah disusuli dengan solat hajat pula.  Memanglah Allah itu Maha Mengetahui segalanya tetapi bukankah lebih baik jika kita sebagai hamba menjaga adab dalam meminta kepada-Nya? Jika difikirkan secara  logiknya memang berasas.  Meminta sesuatu kepada manusia pun harus beradab bimbang jika permintaan tidak dipenuhi. Inikan pula meminta kepada Tuhan pemilik semesta alam!

Teringat semasa zaman menjadi pendidik dahulu.  Saya pernah beberapa kali menegur anak-anak pelajar yang tidak serius ketika membaca doa di perhimpunan sekolah.   Setiap kali doa dibacakan, akan ada mulut yang masih ketawa atau berbual-bual. Lalu saya bawakan contoh kepada mereka. Jika mereka meminta sesuatu kepada ibu dalam keadaan tidak beradab dan main-main, adakah ibu mereka akan menunaikannya? Serentak semua menjawab tidak!

Lalu saya mengaitkannya dengan doa pula. Saya cuba terangkan bahawa doa itu sebenarnya satu permintaan kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa.  Kuasa yang terlalu hebat sehinggakan bila dikata-Nya ‘Jadi’ maka akan pasti terjadilah perkara yang dikehendaki-Nya. Jika kita meminta kepada ibu pun perlu beradab inikan pula kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa.  Meminta dengan main-main hanya mengundang murka Allah sahaja.  Apa yang dipinta tidak dapat tetapi dosa pula yang diterima.

Anak-anak pelajar senyap seketika mendengar kata-kata saya.  Saya kira senyap mereka itu tanda faham dan menyesal.  Namun lumrah anak-anak kecil memang mudah lupa nasihat orang tua.  Bertahanlah dua tiga hari berubah perangainya.  Selepas itu kembali semula ke perangai lama.  Memang begitulah sifat anak-anak kecil.  Keseronokan bermain sering menjadi agenda utama.  Kita sebagai guru dan ibu bapalah yang perlu selalu ingatkan mereka tanpa jemu.

Rasanya Ilmu beradab dengan Tuhan ini sangat penting disemaikan dari zaman kanak-kanak lagi.  Bak kata pepatah “ Melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Ini kerana manusia yang sentiasa menjaga adabnya dengan Tuhan akan sendirinya juga beradab dengan manusia lain!  Wallahua’lam.

Sehingga bertemu lagi, wassalam.


 


“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka beritahu kepada mereka :  Sesungguhnya Aku ( Allah ) sentiasa hampir ( kepada mereka ), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku ( dengan mematuhi perintahku ), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka berada dalam kebenaran.”

( Surah al-Baqarah : 186 )


 


 


 


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan