Selasa, 24 Disember 2013

Menjadi Jutawan Akhirat

Teks        :  Khairul Syifa Ismail
Gambar   :  Carian Google





 
Assalammualaikum, salam ukhwah!

            Semasa menjadi guru dahulu, pihak sekolah saya sangat prihatin dengan suapan rohani guru-guru. Oleh sebab itulah admin telah mengadakan tazkirah wajib setiap minggu untuk para guru.  Memang saat ini amat saya nantikan lebih-lebih lagi jika tazkirah itu disampaikan oleh Ustaz Fauza ( seorang guru dan pendakwah bebas ). Saya amat suka gaya penyampaiannya. Tazkirahnya penuh penghayatan dan sering membangkitkan rasa insaf kepada yang mendengar.

Antara tajuk tazkirahnya yang tidak boleh saya lupakan ialah bagaimana menjadi guru seperti Rasulullah. Jika berjaya, seorang guru itu mungkin mampu bergelar jutawan di akhirat kelak.  Gelaran 'jutawan akhirat' itu benar-banar menarik perhatian saya.  Siapa tidak mahu bergelar jutawan?  Di dunia lagi gelaran ini sudah menjadi idaman apatah lagi bergelar jutawan di akhirat sana! Jika serius mahu ke syurga dengan tiket seorang guru, seriuslah juga membentuk diri menjadi guru seperti Rasulullah s.a.w. Kata Ustaz Fauza jika mahu menjadi guru seperti Rasulullah s.a.w, guru perlu ada dan faham tentang  personaliti 5M berikut:

 

·         Guru sebagai MUDARRIS

Mudarris bermaksud pengajar iaitu menyampaikan segala ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepada anak didik. Guru perlu mengajar tanpa jemu dan bosan sebagaimana Rasulullah tabah berdakwah bertahun lamanya kepada penduduk Mekah.  Kesannya mungkin tidak serta merta tetapi percayalah jika air sentiasa menitis di batu pasti tampak lekuknya satu hari nanti!

 

·         Guru sebagai MUALLIM

Muallim bermaksud orang yang berilmu dan menyampaikan. Bererti guru perlu berilmu terlebih dahulu. Guru jangan menyampaikan sesuatu ilmu yang dia sendiri kurang pasti.  Bimbang yang diajar menjadi sesat.  Seharusnya guru bersungguh-sungguh mendalami sesuatu ilmu sebelum mengajarkannya kepada orang lain. Seperti Rasulullah s.a.w yang berguru terus dengan Allah sebelum menyampaikan dakwah kepada umatnya.

 

·         Guru sebagai MUADDIB

Muaddib bermaksud pendidik adab dan akhlak.  Guru bukan sekadar mengajar ilmu tetapi juga bertanggungjawab dalam menyemai sifat-sifat mahmudah ( sifat terpuji ) di kalangan anak didiknya.  Tidak kira apa mata pelajaran yang diajar, guru mesti menerapkan nilai-nilai murni seorang mukmin.  Jangan anggap  tugas mendidik akhlak dan rohani pelajar ini tanggungjawab guru-guru agama sahaja!

 

·         Guru sebagai MURABBI

Murabbi bermaksud penjaga dan pemelihara.  Bagaimana guru boleh menjaga dan memelihara?  Di sinilah uniknya sifat pekerjaan seorang guru.  Seperti Tuhan, Dia menciptakan hambanya kemudian adakah Dia membiarkan begitu sahaja?  Tidak sama sekali. Setiap hamba dipelihara perjalanan hidup dan rezekinya oleh  Allah.  Begitu juga guru.  Bukan sekadar mencipta pelajar-pelajar yang pandai dan cemerlang tetapi guru juga perlu memelihara kebajikan para anak didiknya.

 

·         Guru sebagai MURSYID

Mursyid bermaksud pembimbing jalan yang benarGuru harus membimbing manusia ke arah kebenaran.  Satu tugas warisan para nabi dan rasul. Membimbing jiwa-jiwa yang jauh terleka kembali berada di atas landasan yang diredhai Allah.  Hebatnya tugasan ini. Hanya bergelar  seorang guru sudah persis seorang pendakwah di alam maya ini!

 

Kesimpulannya di sini, guru perlu mencorak peribadinya terlebih dahulu sebelum mencorak peribadi anak-anak pelajarnya.  Rasulullah s.a.w sendiri menjadikan dirinya ‘Qudwah Hasanah’ ( contoh terbaik ) dalam berdakwah kepada manusia.  Ini kerana sifat manusia cenderung menurut apa yang dilihatnya.  Janganlah sampai terkeluar lagi istilah guru “kencing berdiri, murid kencing berlari”. Kuasailah personaliti hebat 5M ini. InsyaAllah anak-anak pelajar yang dibentuk oleh kita pasti akan hebat mindanya, hebat jiwanya, hebat sahsiahnya dan yang paling penting dialah hamba Allah yang cemerlang di dunia dan akhirat sana. 
 
Jika seorang pelajar begini sudah memberi puluhan pahala kepada gurunya, bayangkan jika ada ribuan lagi pelajar yang sama.  Bererti tidak sedikit lagi pahala yang dikaut.  Maka sudah pasti teramat  layaklah  guru itu bergelar "jutawan akhirat"!
 
Sehingga bertemu lagi, wassalam.

 

 

                                                            



Tiada ulasan:

Catat Ulasan